Polis siasat kaitan pemandu grab hilang dengan penemuan mayat

POLIS sedang menyiasat sama ada penemuan mayat di Tuaran, Sabah pada Isnin mempunyai kaitan dengan kes pemandu Grab yang hilang, Mohd Hanafiee Jaffar.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ahli keluarga Mohd Hanafiee dimaklumkan mengenai penemuan itu, dan mereka akan mengenal pasti mayat.

“Kita perlu melihat sama ada terdapat hubungan antara kes orang hilang, dan penemuan mayat, yang berada di bawah bidang kuasa balai polis lain (Tuaran).

“Walaupun kita telah meminta ahli keluarga Mohd Hanafiee mengenal pasti mayat, kita tidak dapat mengesahkan bahawa dia adalah orangnya.

“Setakat ini, dia masih dianggap hilang,” kata Habibi kepada pemberita di Bazar Ramadan di Sembulan di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Habibi berkata, terdapat kemungkinan yang kuat bahawa salah laku jenayah terlibat dalam kehilangan Mohd Hanafiee berikutan terdapat kesan darah di dalam kereta.

“Kita berharap orang ramai tidak akan menyebarkan versi insiden yang tidak benar dan tidak disahkan.

“Ia menganggu siasatan sekiranya mereka berbuat demikian,” katanya sambil menambah bahawa pihak polis akan mengeluarkan kenyataan mengenai kes tersebut tidak lama lagi.

Mohd Hanafiee yang merupakan pemandu Grab sepenuh masa, hilang awal pagi Sabtu, dekat Kota Kinabalu.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh teman wanita Hanafiee, kereta itu ditemui di kawasan berhampiran Bazar Ramadan di Indah Permai kira-kira 12.30 pagi Ahad.

Katanya, kenderaan tersebut dikunci dan kosong, dengan kesan darah pada stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *