Ujian Ramadan Adam Corrie… Baju dijual tiada sambutan, isteri dan anak pula sakit

Bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga namun turut mengajar seseorang itu mengenal erti kesabaran dalam menghadapi sebarang dugaan.

Begitu yang terjadi kepada pelakon Adam Corrie apabila jualan baju kurtanya di Busana Menara Mara tidak mendapat sambutan.

Menurut Adam atau Adam Corrie Lee Abdullah, 51, dia tidak dapat tidur yang cukup kerana memikirkan stok bajunya yang sudah ditempah.

“Tahun ini merupakan tahun kelima saya berniaga di Busana Menara Mara. Cuma tahun ni saya rasa sedih sikit sebab dah membazir dua minggu.


Adam rungsing memikirkan jualan baju kurtanya tidak mendapat sambutan.

“Kedai saya tiada jualan dan tak ada orang datang membeli disebabkan Jalan Tuanku Abdul Rahman ditutup. Saya tak dapat tidur dan sakit kepala kerana memikirkan stok baju banyak.

“Saya dah tempah beribu helai baju dan sekarang saya tak tahu nak buat apa. Tinggal lagi beberapa hari sahaja nak raya,” katanya kepada mStar.

Adam ditemui pada majlis berbuka puasa Pencil Picture Sdn Bhd dan pelancaran filem Ada Apa Dengan Dosa di Halaman Shah Alam, pada Selasa.

Dalam pada itu, pelakon filem KL Gangsteritu turut meluahkan rasa sedih apabila isteri dan anaknya kini dalam keadaan tidak sihat.

Adam bimbang dengan keadaan isteri dan anaknya yang tidak sihat.

Kata Adam, dia berasa bimbang dengan keadaan anaknya, Adam Fateh apabila doktor memberitahu ada darah ketika membuat rawatan menyedut kahak.

“Dalam keadaan saya rungsing memikirkan jualan baju tu, isteri saya tak sihat dan anak pula demam serta batuk.

“Saya ada bawa Adam pergi hospital baru-baru ini, masa doktor buat rawatan menyedut kahak, ada darah pula.

“Lagi membuatkan saya risau sebab tak tahu nak buat apa. Sudah empat hari saya tak tidur malam sebab anak tak sihat,” ujarnya.

Adam mendirikan rumahtangga dengan Fazema Mohd Fuad, 37, pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata pertama pada 11 Julai 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *