Jalan sesak semua mahu pulang beraya, ini jangkaan dan pesanan Waze untuk anda!

BULAN Ramadan hampir ke penghujungnya dan tibalah ‘perang’ balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal memperlihatkan kesesakan lalu lintas di sepanjang lebuh raya utama di semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun jangan bimbang Cik Waze ada membuat ramalan tentang apa yang bakal dihadapi ketika anda bergerak pulang ke kampung halaman.

1. Akan lebih banyak kenderaan di jalan raya

Berdasarkan data Waze 2018, Waze menjangkakan peningkatan 18 peratus pengguna akan lebih aktif menggunakan aplikasi itu berbanding minggu biasa.

2. Pengguna jalan raya akan menghabiskan lebih banyak masa di jalan raya

Secara purata, rakyat Malaysia menghabiskan masa selama 72 minit sehari di jalan raya namun ia dijangka akan bertambah kepada 15 peratus ketika musim perayaan atau bersamaan 83 minit.

Jarak menggunakan jalan raya juga akan meningkat sekali ganda dari 56 kilometer pada hari biasa.

Meskipun jalan sesak, sentiasalah hidupkan Waze anda kerana ia akan membantu mencari jalan yang kurang sesak. 

3. ‘Shopping’ dan makanan tidak dilupakan!

Rakyat Malaysia mencatatkan purata 7.2 juta dalam pencarian tempat makanan dan 9.7 juta tempat beli-belah menggunakan Waze setiap bulan dan nombor itu dijangka akan terus meningkat bersempena Aidilfitri.

Meskipun jalan raya akan dipenuhi dengan kenderaan pada musim perayaan ini namun Waze mencadangkan agar sentiasa membiarkan aplikasi itu terbuka untuk mendapatkan data trafik yang tepat.

Adalah lebih mudah menetapkan destinasi anda bagi membolehkan Waze mencari jalan paling cepat dan kurang kesesakan.

Sementara itu, Plus Malaysia Berhad (PLUS) menerusi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) memberitahu bagi yang ingin ke arah utara (Perak, Kedah, Perlis) bermula 30 Mei hingga 10 Jun, pelanggan disarankan memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

Manakala, pelanggan yang menghala ke lokasi yang berdekatan seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor pula boleh memasuki lebuhraya selepas jam 10 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *