Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

seorang wanita berambut panjang, kepala senget, mulut berdrah sedang merangkak perlahan-lahan menuju ke arah suami


‘GANGGU’

Assalamualaikum. Nama aku Nisa. Aku nak cerita tentang kejadian buruk yang menimpa rumahtangga aku. Kejadian ini berlaku semasa kami masih lagi menetap di sebuah rumah kayu di kawasan perkampungan Batu Pahat pada tahun 2016. Ketika itu aku sedang sarat mengandung anak kedua. Kami menetap disitu pada 2012, sejak anak sulung kami, Hawa berumur 5 tahun. Rumahtangga kami aman bahagia. Hinggalah pada suatu malam…

Tepat pada pukul 3 pagi, aku terbangun dari tidur. Suasana gelap. Aku berpaling ke arah kanan. Suami dan anakku masih ada di sebelah. Kelihatan mereka sedang nyenyak tidur. Aku merenung wajah anak dan suami. Lucunya mereka waktu tidur. Dua orang inilah penyeri kehidupan aku, dan bakal ada yang ketiga. Aku bersyukur Allah hadirkan orang-orang ini didalam kehidupan aku. Setelah hampir dua minit merenung muka mereka, aku pun turun dari katil untuk pergi ke tandas dan mengambil wudhu. Dalam perjalanan dari bilik ke tandas, suasana sunyi sepi tidak seperti selalu tetapi aku abaikan sahaja.

Selesai mengambil wudhu, aku pun kembali ke bilik. Baru sahaja aku menjejakkan kaki di pintu bilik , tiba-tiba aku ternampak sesuatu yang asing di bilik.

Ada lembaga menyerupai seorang wanita berambut panjang, kepala senget, mulut berdarah sedang merangkak perlahan-lahan menuju ke arah suami dan anak aku yang sedang tidur. Aku terkedu.

“Astaghfirullahalazim!! Auzubillahiminassyaitonirrajim!!!” Aku menjerit sekuat hati. Lembaga hodoh yang hampir mahu mencapai kaki suami aku tiba-tiba hilang begitu sahaja. Peliknya suami dan anak aku tidak terjaga langsung dengan pekikan aku sebentar tadi.

Aku, dengan seluruh badan yang menggigil lantas berlari menuju ke arah katil dan berselubung selimut. Aku cuba untuk tidur, tetapi mengenangkan muka lembaga yang sangat menyeramkan itu membuatkan aku tak dapat tidur.

Keesokan harinya…

“Abang, Nisa ada benda nak cerita kat abang.” Aku menarik tangan suami yang sedang bersiap-siap untuk pergi kerja dan menceritakan perkara yang berlaku semalam.

Suami aku merenung muka aku… Tak berkelip.

“Tu la awak, abang dah cakap jangan selalu sangat tengok cerita hantu.. Awak degil.. Kan dah mengigau. Kalau betul awak pekik kenapa abang tak dengar satu apa pun pagi tadi? Jangan nak mengarut lah abang dah lewat nak pergi kerja ni.” Suami memandang aku sinis. Dia tak percayakan aku dan terus pergi bekerja.

Semenjak malam itu, makin kerap gangguan yang berlaku di rumah. Yang paling membimbangkan apabila anak aku, Hawa yang terkena gangguan itu.

Petang itu Hawa sedang bermain anak patung di ruang tamu. Aku pula sedang memasak didapur. Tiba-tiba kedengaran suara Hawa bercakap dengan seseorang.

“Sini la.. Jom la main anak patung dengan kita.. Kita ada banyak anak patung tau!” Hawa mempelawa. Aku sangkakan dia sedang bermain dengan anak jiran, tapi bila aku menjenguk Hawa dari dapur, kelihatan Hawa sedang bercakap seorang diri.

“Hawa… Hawa bercakap dengan siapa,sayang?”

“Dengan kawan baru, Ummi.”

“Mana dia? Ummi tak nampak pun?”

“Ni Ummi, kat sebelah Hawa ni . dia nampak Ummi. Dia kata Ummi garang.” Hawa menunjuk ke sebelah kiri nya.

Kosong.

Aku dengan pantas berjalan ke arah Hawa yang masih lagi sedang berbual dengan ‘kawan baru’ nya .

“Hawa, pergi mandi. Suruh kawan tu balik. Ummi nak tutup pintu ni. Sekejap lagi Ayah balik, dia nampak Hawa tak mandi lagi mesti dia marah.” Hawa muram. dia memandang ke arah ‘kawan baru’ itu dan terus pergi ke bilik mandi. Aku terus menutup pintu. Memang aku rasa tak sedap hati. Aku agak mesti ada perkara yang lebih teruk akan jadi.

Tepat pukul 3 pagi, aku terbangun lagi. Aku menoleh ke arah suami dan anak untuk memastikan mereka ada. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat di sebelah aku hanya ada suami. Kemana hilangnya Hawa?

“Bang.. Abang.. Bangun bang.. Anak kita tak ada.. Bangun..” aku menggoncang tangan suami. Diam. Tiada tindakbalas. Aku segera keluar dari bilik dan mencari Hawa di seluruh rumah. Sampai ke dapur, aku terkedu.

Aku lihat Hawa, sedang duduk di atas kerusi, sedang bergelak ketawa menghadap tingkap yang terbuka . tingkap dapur itu menghala ke hutan rimba yang gelap pekat.

“Hawa.. Hawa buat apa sorang-sorang kat sini.. Dah malam ni.. Tutup tingkap tu.. Jom tidur.”

Hawa tidak mempedulikan aku. Dia masih bergelak ketawa dan berbual-bual dengan sesuatu yang berada di luar tingkap. Aku menghampiri Hawa dan memegang bahu nya perlahan. Dia diam serta merta.

Tiba-tiba dia menoleh pantas ke arah aku. Matanya bulat hitam pekat yang tiada putihnya. Mukanya merekah , retak seribu.

“JANGAN GANGGU DIA! DIA MILIK AKU!!!” Suara wanita garau dan kuat datangnya dari mulut Hawa yang terbuka luas. Aku sangat terkejut dan pengsan disitu juga. Tidak lama kemudian, aku sedar. Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Tingkap masih terbuka, tetapi Hawa hilang.

Aku segera berlari ke bilik untuk mengejutkan suami aku. Bila sampai ke bilik aku lihat Hawa sedang nyenyak tidur di sebelah suamiku. Aku keliru. Siapa yang ada kat tingkap tadi? Aku segera memeluk erat Hawa yang sedang tidur.

“Kenapa, Ummi?” Dia terjaga.
“Tak ada apa, sayang. Ummi mimpi buruk tadi..” aku berdalih. Aku tak mahu menakutkan Hawa. Dia masih kecil dan tak tahu apa-apa.
Ibu mana yang tak risau bila anaknya diganggu? Kami dah lama menetap di rumah ni, kenapa baru sekarang gangguan-gangguan macam ni berlaku?

Aku segera memanggil seorang ustaz di sekolah agama berdekatan rumah . namanya Ustaz Fadhilalah. Mengikut penceritaan jiran aku dulu, Ustaz ini berpengalaman mengubat orang lebih 20 tahun. Setelah bercerita lebih lanjut tentang gangguan yang aku alami, Ustaz bersetuju untuk membantu keluarga aku .

Malam itu, lebih tepat lagi lepas isyak, Ustaz akhirnya sampai ke rumah aku bersama pembantunya. Setelah mereka masuk ke rumah, Ustaz memerhati keliling rumah aku dengan mulut yang terkumat kamit.

“Sediakan satu jag air masak. Bawakan botol spray sekali.” Ustaz menyuruh pembantunya menyediakan alatan untuk pendinding rumah. Aku hanya melihat dari jauh sambil memeluk Hawa yang dari tadi hanya memerhati Ustaz dan pembantunya itu.

Setelah alatan tersedia, Ustaz pun keluar dari rumah itu. Sambil membaca surah-surah yang berkenaan lalu ditiupkan ke dalam jag air tersebut. Air didalam jag itu kemudian dituangkan sedikit kedalam botol spray yang dibawa oleh pembantunya awal tadi.

“Allahuakbar!” SPLASHHHH!!!!

Ustaz Fadhilalah menyimbah air didalam jag itu ke atap rumah. Menitis-nitis air itu turun kembali ke bawah. Botol spray tadi pula dibawa masuk ke dalam rumah dan disembur ke setiap penjuru rumah . Apabila upacara pendinding rumah selesai, Ustaz berjumpa aku.

“Saya dah pagar rumah ni, insyaAllah tak ada apa-apa. Selalu-selalulah baca Al-Quran dalam rumah. Lepas tu, kamu kena letak Al-Quran yang telah dikhatamkan di ruang tamu. Kalau ada perkara lain yang jadi, bagitahu saya.”

Aku berterima kasih kepada Ustaz dan pembantunya. Mereka pun pulang. Alhamdulillah, aku dapat rasakan ketenangan didalam rumah itu. Selama beberapa hari, rumahtangga aku aman dan damai. ‘kawan baru’ Hawa pun sudah tidak muncul lagi.

Tetapi gangguan tidak berakhir setakat itu.. Masuk hari ketiga selepas upacara pendinding rumah dijalankan, ketika itu Suami aku baru pulang dari rumah. Dia kelihatan tidak terurus. Apabila aku menegurnya, dia melenting. Ya. Suami aku mula panas baran dah sering memarahi aku tanpa ada sebab yang kukuh. Aku cuba bersangka baik, dia penat bekerja sebab itu dia tak dapat mengawal perasaan.

Aku terus menghubungi Ustaz Fadhilalah kembali apabila suami mula naik tangan pada aku. Selama sepuluh tahun berkahwin belum pernah lagi dia mengasari aku sebegini. Jadi, aku meminta Ustaz supaya memeriksa badan suami. Entah jin apa lah yang dah masuk dalam badan dia sampai dia jadi pemarah macam ni.

Malam itu Ustaz dan pembantunya datang ke rumah kami. Ketika itu suami sedang duduk di ruang tamu. Aku pula sejak awal lagi disuruh Ustaz untuk duduk di dapur bersama Hawa.

“Assalamualaikum tuan.. Apa khabar..” Ustaz Fadhilalah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan suami aku.

“Apa kau buat kat rumah orang malam-malam ni? Balik!! Macam tak ada rumah sendiri je! Ustaz konon.. Ustaz taik kucing!”
suami menengking Ustaz tetapi Ustaz tidak terkesan sedikitpun dengan tengkingan itu. Ustaz membaca ayat-ayat Al-Quran yang tertentu dan meniupkan ke muka suami yang sedang memaki hamun ustaz. Selepas terkena tiupan itu, suami tiba-tiba diam. Lututnya longgar. Dia jatuh terjelepuk ke lantai. Pengsan.

Ustaz dan pembantunya mengangkat suami ke atas katil untuk merawatnya. Ketika Ustaz memerhatikan tubuh suami, dia terlihat ada sebentuk cincin geliga di jari manis suami. Geliga itu bewarna kuning keemasan. Ustaz memegang jari manis suami untuk melihat cincin itu dari jarak dekat. Ada sesuatu di dalam cincin geliga itu.

“Awang, tolong cabutkan cincin di jari dia ni.” Ustaz menyuruh pembantunya.

Awang segera mencabut cincin di jari suami tetapi malangnya cincin itu sukar dicabut.

“Ustaz, tak boleh bukak la Ustaz.. Tersangkut. Tak boleh paksa.”

Kemudian Ustaz Fadhilalah sendiri yang mencabut cincin itu di tangan suami. Dengan sekali rentap, cincin itu berjaya dilepaskan dari jari suami. Ustaz segera memasukkan cincin itu ke dalam sebotol kaca dan menyuruh pembantunya membuang cincin ke laut berhampiran. mujur jarak dari rumah ke laut hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.
Selesai upacara membuang cincin di laut, mereka bergegas kembali ke rumah kami. Suami pula ketika itu masih lagi pengsan.
Ustaz memutuskan untuk memagar kawasan rumah dengan cara lain. Ustaz membacakan ayat-ayat Al-Quran dan meniup ke seluruh kawasan rumah. Kemudian malam itu berlalu dengan tenang. Suami tidur hingga ke subuh.

Esoknya…

Sedang suami bersiap untuk pergi ke kerja, muncul satu soalan di bibirnya.
“Cincin yang aku pakai semalam mana? Ada nampak tak?”

“Entah lah bang. Tak perasan pulak saya. Abang letak mana cincin tu semalam?” Aku tak memberitahu hal sebenar takut dimarah suami lagi.

Suami tak endahkan soalan aku, terus meluru keluar rumah dan pergi kerja. Suami masih bersikap dingin terhadap aku. Entah dimana silapnya aku ni. Aku meneruskan rutin harian aku sebagai seorang suri rumah seperti biasa. Hinggalah sampai waktu maghrib, Suami pun pulang dari bekerja.

Aku menyambut kepulangan suami tetapi suami tidak melayan dan terus meluru ke bilik. Semasa suami mahu menuju ke bilik, aku terpandang jari suami.

Ada cincin baru. Batu geliga yang terdapat di cincin itu sama warna dengan yang dibuang oleh Ustaz Fadhilalah semalam. Aku hanya membiarkan sahaja tanpa memberitahu Ustaz. Mujur malam itu tiada kejadian aneh berlaku.

Esoknya , suami pergi ke kerja seperti biasa. Selangkah suami keluar dari rumah, aku terasa meremang di tengkuk. Seperti ada orang memerhati aku dari jauh. Tetapi aku abaikan saja.

Lingkungan pukul enam petang, tiba-tiba rumah aku didatangi seseorang.

“Assalamualaikum..” Aku segera pergi ke pintu untuk melihat siapa yang memberi salam.

“Waalaikumsalam.. Eh Ustaz.. ada apa ya?” Rupa-rupanya Ustaz Fadhilalah dan pembantunya, Awang yang datang.

“Saya ada rasa kurang senang dengan rumah kamu. Boleh saya tinjau-tinjau di bawah rumah?” Soal ustaz. Aku mengizinkan tanpa ada soalan. Dia hebat dalam hal merawat orang, seharusnya dia tahu apa yang dia lakukan.

Ustaz Fadhilalah dan Awang segera pergi meninjau di ruang bawah rumah. Beberapa minit kemudian….

Ustaz terjumpa kesan tanah dikorek. Ustaz menyuruh Awang mengorek tanah itu dan hasilnya sangat mengejutkan!

Segulung kain kuning yang digulung dan diikat seakan pocong telah dijumpai tertanam di lubang itu. Aku menjadi hairan. Siapa pula yang meletakkan benda aneh tu disitu? Ustaz segera mengambil kain kuning itu. Dibuka ikatannya satu-persatu disulami dengan ayat 3Kul .

Ikatan pertama dibuka,

Ikatan kedua dibuka,

Ikatan ketiga dibuka,

Tiba-tiba Ustaz Fadhilalah kaku selama beberapa saat. Mulutnya terkumat kamit. Tangan kirinya perlahan-lahan diangkat dari kain kuning itu dan digenggam, memberi isyarat menandakan ‘sesuatu’ di dalam balutan kain kuning itu telah berpindah tempat ke dalam genggaman tangannya.

Awang yang sudah faham akan isyarat Ustaz dengan pantas membawa sebuah botol kaca lalu menghulurkannya kepada Ustaz. Dengan pantas Ustaz memasukkan ‘sesuatu’ itu ke dalam botol. Kelihatan didalam botol itu berasap-asap dan berbentuk seakan-akan sepasang mata.

“Saya nak pergi buang benda ni sekejap. Nanti saya datang balik.” ujar Ustaz pada aku.

“Ustaz, sebelum Ustaz buang, saya nak tahu.. Apa benda tu sebenarnya? Kenapa benda tu ada kat bawah rumah saya?”

“Yang saya boleh bagitahu Nisa sekarang ni, ini sejenis hantu raya. Kenapa dia ada kat sini, Wallahualam. Kamu selalu-selalulah berdoa supaya Allah tunjukkan kebenaran pada kamu secepatnya.”

Ustaz dan pembantunya bergegas ke tanah perkuburan yang terdekat dan melepaskan botol itu di situ.

Aku tertanya-tanya. Kenapa dilepaskan di tanah perkuburan? Kenapa bukan di laut?
Ini penjelasan Ustaz:

“Di setiap kawasan perkuburan ada satu ketua jin yang tugasnya mengawasi kubur-kubur. Apabila jin lain datang, mereka akan berbalah sesama sendiri dan jin itu takkan pergi kemana-mana selain di kawasan itu kerana ia telah diawasi oleh ketua jin.”

Aku yang mendengarnya tercengang seakan tidak percaya.
Tetapi memandangkan perkara sudah pun selesai, aku sudah mampu untuk menarik nafas lega. Cuma ada satu masalah lagi yang masih belum selesai.

Cincin.

Tidak lama kemudian suami aku pun pulang ke rumah. Aku memerhati cincin di jarinya.
Hilang. Yang ada hanyalah lingkaran bekas merah seakan terbakar di jari manisnya.

“Abang, mana cincin abang?”

Suami terdiam.

“Sebelum balik kerja tadi, tiba-tiba cincin tu jadi panas sangat. Abang cuba tahan tapi makin lama makin panas. Abang cepat-cepat tanggalkan dan buang ke dalam sungai. Pedih jari ni ” Suami menunjukkan bekas terbakar di jari manisnya kepada aku.

Aku bersyukur kerana cincin itu sudah tidak ada di rumah ini. Semenjak kejadian itu rumah kami aman bahagia. Suami juga sudah tidak panas baran lagi. Tetapi memori buruk itu masih tersemat dalam jiwa kami, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk berpindah dan menetap di Taman Perling hingga sekarang dan kami bebas dari apa-apa gangguan mistik.

Setelah beberapa tahun berlalu, baru kami tahu siapa yang bertanggungjawab menanam hantu raya di bawah rumah kami dulu.

Bekas teman wanita suami.

Dia mahu keluarga kami bermasalah dan tak mahu kami sekeluarga hidup tenang. Dendamnya pada suami masih ada walaupun setelah 10 tahun berlalu.

Berkenaan cincin, cincin itu diberi oleh kawan karib suami, kononnya sesiapa yang memakai cincin itu akan menjadi kebal. Memang lah kebal, kalau dah ada pendamping dalam cincin yang jaga. Aku harap suami dah belajar serik untuk menerima benda-benda karut seperti ini lagi.

Kehadiran cincin itu menambah sokongan kepada hantu raya tadi, dan mereka bergabung menjadi satu gangguan yang amat dahsyat. Bila difikirkan balik, nasib baik aku cepat bertindak. Kalau aku lambat, mungkin aku akan kehilangan suami aku. Lebih teruk, aku akan kehilangan Hawa….

“Kerana dendam kesumat yang membara, manusia sanggup menyekutukan Tuhannya. Lalu disembah makhluk yang hina, agar puas hati merasa.”

-TAMAT-

Karya: Zhaiera