no comments

Azhan derma darah rutin wajib kekal sihat

Setiap dua minggu sejak sembilan tahun lalu, pelakon popular, Azhan Rani, 43, menderma darah di Pusat Darah Negara (PDN) sebagai rutin wajib selepas menyedari ia membuatkan dirinya cergas dan sihat.

Sebagai penderma rutin darah platelet dan plasma, beliau boleh menderma setiap dua minggu berbeza darah merah yang dihadkan setiap tiga bulan.

“Bermula sebagai penderma darah merah pada 2010 sekadar mencuba, saya sentiasa mendapat maklumat setiap kali menderma di PDN membuatkan aktiviti ini sungguh menyeronokkan dan berazam meneruskan usaha ini hingga hari ini.

“Saya puas dapat membantu pesakit yang memerlukan darah kerana setiap kali menderma. Saya dimaklumkan kita mampu menyelamatkan tiga nyawa pesakit dengan menyumbangkan darah merah, platelet dan plasma.

“Terbuka hati menderma ketika kerap melawat dan meneman arwah ayah ketika beliau sakit di hospital dulu. Melihat pesakit di sekeliling, timbul rasa tanggungjawab untuk membantu sesiapa saja tidak kira agama mahupun bangsa,” katanya yang memilik darah jenis O+.

Mengakui pada awalnya perasaan takut untuk menderma tetap ada pada setiap orang termasuk dirinya terutamanya pertama kali melihat jarum suntikan dan darah keluar dari tubuhnya.

Namun perasaan itu dapat dikawal dengan rasa tanggungjawab untuk membantu yang akhirnya mengubah rasa dirinya sebagai orang jauh lebih bersemangat dari sebelumnya.

Tak naik berat badan

Azhan penerima anugerah kategori Antagonis Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019), berkata maklumat yang diberikan PDN setiap kali menderma dijadikan pengetahuan untuk mengekalkan kesihatan setiap masa.

“Kelebihan sebagai penderma saya mendapat ilmu berkaitan kesihatan. Sesuai dengan kerjaya sebagai pelakon yang ada kalanya pengalaman dan ilmu itu boleh saya dimanfaatkan ketika menjalani penggambaran.

“Sebagai penderma, saya perlu sihat dan sentiasa mendapat perkhidmatan menyemak tahap kesihatan dari semasa ke semasa. Secara tidak langsung saya dapat memantau status kesihatan setiap kali menderma darah.

“Tiada makanan tambahan lain yang saya amalkan, selain sekali-sekala perlu mengambil vitamin C untuk menambah tenaga,” katanya.

Beliau mengakui setiap kali menderma darah merasakan ada perubahan pada diri terutamanya kecerdasan mental dan fizikal.

Pilih PDN derma darah

“Dulu kita sering mendengar orang menderma darah biasanya berat badan akan naik kerana selera makan bertambah. Sebenarnya itu cuma metos.

“Jujurnya saya rasa lebih segar dan tidur lena. Berat badan saya juga tiada masalah, iaitu sekarang 85 kilogram (kg),” katanya.

Sebagai selebriti yang menjadi tumpuan masyarakat, bukan sekadar bakat mahu dikongsi dirinya kepada peminat. Apa yang baik untuk masyarakat perlu teladani dan hindari perkara yang tidak baik untuk dilakukan.

“Orang ramai patut jadikan derma darah sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan untuk membantu pesakit memerlukan,” katanya yang memilih PDN sejak awal sehingga sekarang derma darah

Reply