no comments

Dera Anak OKU peniaga nasi lemak di hadapkan ke Mahkamah

SEORANG penjual nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) di Arau minggu lalu.

Tertuduh, Zarina Murni Mohd Hashim, 40, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan kali pertama.

Namun dia menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan semula di depan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zarina sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun didakwa mengabaikan kanak-kanak berkenaan di sebuah rumah di No 8, Jalan Padang Nyu, Kampung Gial, Arau tahun lalu dan tahun ini.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Diyana Ab Shukor.

Mohd Izham memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh selepas mengambil kira kesalahan serius dilakukan.

Nur Diyana memohon mahkamah mempertimbangkan suatu jaminan yang minimum memandangkan pendapatan Zarina tidak menentu, selain menghidap masalah darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, berikutan masalah kesihatan dialami, Zarina kini terpaksa bergantung kepada bekalan ubat-ubatan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 28 Ogos depan.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, di depan Majistret Norhayati Ibrahim, anak sulung tertuduh berusia 15 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak berusia 14 tahun menggunakan sebatang soldering iron, paip getah dan satu penyangkut plastik di No 8, Jalan Padang Nyu, Kampung Gial, Arau jam 6 pagi jam 1 Julai lalu.

ANAK penjual nasi lemak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norhayati memerintahkan tertuduh tidak diikat jamin disebabkan tiada penjaga dan diarahkan dihantar ke Penjara Juvana Sungai Petani sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menentukan hukuman.

Terdahulu, dua beranak itu diiringi anggota polis tiba di mahkamah jam 9.28 pagi. Beberapa ahli keluarga tertuduh juga dilihat berada di bangunan ini.

Ahad lalu, rakaman seorang remaja perempuan dipaksa tidur di luar rumah tersebar di laman sosial Twitter yang dimuat naik seorang pengguna.

Selain dipaksa tidur di luar rumah, mangsa dipercayai turut disimbah air panas, dipukul dengan buluh dan anggota badannya dikepit playar.

Reply