no comments

Enam tanda anda mengidap kencing manis

Ramai beranggapan bahawa penyakit kencing manis hanya akan menyerang individu yang gemuk dan tidak aktif sahaja.”

Hakikatnya sesiapa sahaja boleh mendapat kencing manis, tidak kira anda pakar kesihatan, individu yang suka makan manis hingga bayi sekalipun.

Kencing Manis atau dikenali sebagai Diabetes Mellitus terjadi apabila paras glukos atau gula adalah tinggi di dalam darah disebabkan oleh kekurangan insulin dihasilkan pankreas.

Tugas insulin sepatutnya adalah mengawal keseimbangan glukos dalam badan dengan membantu pergerakan glukos dari darah ke dalam sel.

Jika insulin tidak mencukupi maka glukos tidak boleh masuk ke dalam sel, dan ia kekal di dalam darah hingga menyebabkan paras glukos tinggi boleh menyebabkan kesihatan terjejas. Anda boleh semak tanda-tanda ini terlebih dahulu kerana ini antara gejala biasa yang dihidapi oleh pesakit kencing manis.

Kerap Kencing –Penghidap kencing manis selalu kerap ke tandas untuk membuang air berbanding individu sihat. Ini berlaku kerana lebihan glukosa dalam saluran darah membuatkan buah pinggang bekerja lebih keras untuk memprosesnya.

Kerap Dahaga –Tanda kencing manis yang paling biasa ialah selalu cepat berasa haus. Apabila air banyak hilang anda akan menjadi lebih dahaga. Haus antara cara badan sedang berkerja menggantikan air yang telah hilang.

Berat Badan Menyusut Dengan Drastik – Pelik atau tidak? Makan macam biasa, tetapi berat badan menurun? Inilah antara tanda kencing manis. Bagi sesetengah orang, kehilangan berat badan secara drastik dalam masa yang singkat mungkin menggembirakan mereka. Tetapi awas kerana ia mungkin salah satu tanda anda menghidap kencing manis kerana disebabkan oleh kegagalan badan untuk memproses glukosa sebagai tenaga yang menyebabkan ia mula memecahkan otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.

Jarak Penglihatan Menurun – Jangan ingat tidak nampak itu disebabkan rabun. Antara tanda kencing manis yang orang selalu diabaikan ialah tidak dapat melihat dengan jelas. Kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kanta dan mata yang seterusnya mengakibatkan seseorang mengalami kabur penglihatan. Seseorang itu mungkin juga akan buta sekiranya ianya dibiarkan untuk tempoh yang panjang.

Sering Kebas Pada Tangan Dan Kaki – Antara tanda kencing manis yang lain ialah selalu rasa kebas. Ia disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf atau pembuluh darah yang menyebabkan seseorang mengalami kesemutan, kebas atau bengkak pada tangan dan kaki.

Luka Yang Lambat Sembuh –Sistem saluran darah yang rosak kerana gula berlebihan juga turut memberikan kesan kepada penyembuhan luka kerana darah tidak dapat disampaikan kepada anggota-anggota badan. Paling menakutkan apabila luka-luka ini menjadi semakin teruk dan membusuk dimana hanya dengan memotong anggota badan tersebut merupakan jalan untuk menyembuhkannya.

Ada yang membuat jenaka, kononnya kalau nak tahu seseorang itu penghidap kencing manis atau tidak, lihat samada semut menghurung air kencing pesakit atau tidak. Cara itu belum ada lagi kebenarannya. Untuk lebih kepastian, dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital berdekatan anda.

Reply