no comments

Ibu Tunggal sedih anak koma jatuh basikal

GUA MUSANG – Seorang ibu tunggal sedih memikirkan nasib anak yang sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas terjatuh ketika menaiki basikal.

Ruzaini Bakar, 47, berkata, anak lelaki bongsunya, Muhammad Hassif Daneal Muhammad Sofian, 12, yang bakal mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sedarkan diri selepas kejadian hampir dua minggu lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku berhampiran rumahnya di Taman Wangsa Mewangi, Gua Musang dekat sini kira-kira pukul 5 petang pada 17 Julai lalu.

“Selepas kelas mengaji Al-Quran, Muhammad Hassif Daneal mengayuh basikal untuk balik ke rumah.

“Dia dipercayai terbabas sendiri ketika mengayuh basikal dan pulang ke rumah dengan kepala berdarah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Ruzaini, dia segera menghantar anak bongsu daripada empat beradik itu ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan kecemasan.

Katanya, kemudiannya Muhammad Hassif Daneal dihantar pula ke Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke HUSM dan hingga sekarang masih belum sedarkan diri.

“Anak saya sudah melakukan pembedahan di bahagian kepala tetapi keadaan masih belum berubah.

“Doktor memaklumkan kepada saya pembedahan kepala anak saya itu perlu dilakukan semula dalam masa terdekat ini kerana dipercayai ada lagi darah beku dalam kepala,” katanya.

Tambah Ruzaini, dia yang berniaga makanan di pasar malam juga hilang sumber pendapatan kerana terpaksa menjaga anak sakit.

Katanya, dia terpaksa meminta pertolongan rakan dan saudara mara untuk kos berulang-alik dari Gua Musang ke Kota Bharu sepanjang rawatan anak di hospital.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Ruzaini di talian 013-9231 955 atau menyumbang ke akaun Bank Islam miliknya bernombor 03063020123492. – K! ONLINE

Reply