no comments

Lexis Hibiscus 2 dijangka siap 2024

PORT DICKSON: Pembangunan projek resort atas air terbaharu Kuala Lumpur Metro Group (KL Metro), Lexis Hibiscus 2, dijangka siap pada 2024.

Pengerusinya, Datuk Mat Hassan Esa, berkata resort mewah bertaraf lima bintang itu akan dibina bermula akhir tahun depan dan terletak bersebelahan Lexis Hibiscus dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.

Katanya, projek kedua bersama Lexis Hotel Group itu akan mempunyai 760 bilik terdiri daripada 582 vila atas air dan 178 vila sky pool selain mempunyai kolam renang peribadi di setiap bilik.

“Kami yakin Lexis Hotel Group bukan saja mampu membantu Lexis Hibiscus 2 mencapai kejayaan setara seperti Lexis Hibiscus tapi menjangkaui pencapaian resort terkemuka itu sebagai pembangunan penginapan atas air terbesar di dunia.

“Sebaik siap, kami yakin kehadiran Lexis Hibiscus 2 bukan saja mampu mengukuhkan jenama Lexis, tetapi meningkatkan daya tarikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dengan menarik 400,000 pengunjung setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani usaha sama KL Metro dengan Perbadanan Menteri Besar (Negeri Sembilan), di sini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan KL Metro, Datuk Low Tak Fatt.

Ia disaksikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mat Hassan berkata, pembinaan resort mewah seluas 32 hektar itu juga mampu menyumbang kepada komuniti setempat dengan menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

“Selain itu, kami akan bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mempromosi industri pelancongan di Port Dickson,” katanya.

Reply