no comments

Omega 3 berlebihan risiko kanser prostat

Lelaki mempunyai kadar asid docosahexaenoic (DHA) yang tinggi dalam darah menerusi pengambilan Omega 3 secara berlebihan, berhadapan risiko 2.5 kali diserang kanser prostat.

Ketua Perkhidmatan Pemakanan, Hospital Pakar KPJ Puteri, Nur Hafizah Abdul Hadi, berkata pengambilan Omega 3 berlebihan menyebabkan ‘oxidative stress’ selain berlaku kerosakan DNA yang terdedah kepada kanser prostat.

Katanya, hasil kajian menunjukkan wujud hubung kait antara Omega 3 yang tinggi di dalam darah dan pesakit.

Katanya, laporan kajian berkenaan diterbitkan American Journal of Epidemiology dan Journal of National Cancer Institute.

“Kajian menunjukkan pengambilan Omega 3 melebihi tiga gram sehari menyebabkan ketidakselesaan perut dan sistem pencernaan.

“Kebarangkalian berlaku pendarahan terhadap individu mengambil ubat antikoagulan, pada masa sama mengambil minyak ikan melebihi tiga gram sehari, namun peratusannya kecil,” katanya kepada BH.

Nur Hafizah yang juga pakar pemakanan, berkata persoalannya ramai tertanya-tanya kuantiti Omega 3 yang perlu diambil dalam sehari bagi mengelak daripada berlaku terlebih dos.

Beliau berkata, setakat ini tiada standard ditetapkan berapa banyak Omega 3 patut diambil setiap hari. Setiap organisasi kesihatan mengeluarkan pandangan masing-masing, namun kebanyakan setuju pengambilan Omega 3 (EPA & DHA) sekitar 250mg dan maksimum 500mg sehari bergantung kepada jantina serta usia.

Katanya, pengguna tidak perlu bimbang kerana Omega 3 kebanyakannya dihasilkannya daripada minyak ikan sejak berdekad lalu menunjukkan lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada kesihatan.

“Amalan pengambilan makanan laut dan ikan dua kali seminggu pada anggaran (113gram), mengurangkan risiko sakit jantung dan kematian berkaitan gangguan kardiovaskular. Begitu juga pengambilan vitamin tambahan berasaskan minyak ikan tidak mendatangkan masalah jantung.

“Malah, terdapat kajian menyokong pengambilan suplemen minyak ikan merawat individu yang mempunyai masalah sakit jantung dan arrythmias (jantung berdegup tidak sekata).

Mengulas lanjut Nur Hafizah berkata, kajian lain menunjukkan pengambilan minyak ikan berupaya menurunkan kadar triglyceride berkaitan kesihatan jantung. Omega 3 memberikan impak positif kepada pesakit rheumatoid arthritis sebagai ubat penahan sakit.

Katanya, pengambilan sepanjang tempoh tiga bulan mengurangkan kesakitan pesakit arthritis namun tidak merawat secara keseluruhannya, hanya alternatif.

“Kebaikan Omega 3 membantu kesihatan mental iaitu keradangan (inflammation) boleh menjadi salah satu faktor kepada masalah dementia dan Alzheimer, namun memerlukan banyak kajian sebelum pakar kesihatan mencadangkan pengambilan Omega 3,” katanya.

Sumber Omega 3

* Ikan bilis

* Ikan kembung dan tuna

* Salmon, belut dan keli

* Terubuk, sardin dan siakap.

* Seetengah minyak sayuran

* Kekacang dan makanan bersoya.

* Ikan berlemak

* Flaxseed, chia seed dan kekacang

* Omega 3 diambil dengan pengawasan doktor

* Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap komposisi asid lemak ikan menunjukkan ikan bilis mengandungi asid lemak DHA dan EPA tertinggi

3 jenis Omega 3

* Alpha-linolenic acid (ALA)

* Docosahexaenoic acid (DHA)

* Eeicosapentaenoic acid (EPA).

* DHA adalah asid lemak 22 karbon Omega 3, tidak tepu, karbonat.

* Minyak ikan mengandungi EPA

* DHA sesuai untuk ibu hamil

* DHA sesuai untuk perkembangan otak dan retina bayi dalam kandungan.

* Minyak ikan mengandungi EPA dan DHA

Kebaikan Omega 3:

* Mengurangkan kadar kematian berkaitan sakit jantung sehingga 45 peratus.

* Konflik di antara kajian bergantung kepada bentuk kajian, populasi dan faktor sampingan seperti gaya hidup subjek

* Pengambilan lemak tepu, serat dan bahan kimia daripada tumbuhan

Reply