no comments

Saya halalkan! tapi kalau belum guna susu tu minta dipulangkan semula

BACHOK: “Kalau sudah jadi darah daging sebab sudah terminum, saya halalkan tapi kalau masih belum guna susu itu, tolong pulangkan,” kata pemilik treler, Azizan Zainudin, 57.

Azizan berkata, beliau menerima banyak permohonan maaf dan orang ramai memulangkan kembali susunya yang dikutip dalam kejadian treler terbalik Rabu lalu.

Katanya, ada individu yang mendakwa membawa pulang beberapa tin susu yang dibawa treler terbalik yang dipandu anaknya, Mohd Baihaqi, 25, selepas melihat orang ramai mengutip susu berkenaan selepas kemalangan.

ORANG ramai mengutip susu tin yang bertaburan selepas sebuah treler muatan susu itu terbalik di simpang 3, Kampung Tawang, Rabu lalu. NSTP/Ihsan Pembaca

“Orang ramai hubungi saya dan memohon maaf selain beritahu ada memberi susu itu kepada keluarganya, termasuk bapanya yang akan mengerjakan haji bulan ini jadi dia mohon halalkan.

“Saya ingin tegaskan, saya halalkan untuk yang sudah terminum, sudah guna sebab benda sudah terjadi, cuma saya minta mereka bantu selesaikan masalah saya untuk buat tuntutan insurans dengan memulangkan kembali susu yang belum digunakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azizan berkata, selepas jadi kes polis, kesemua susu itu dibawa ke balai untuk siasatan dan mungkin memakan masa berbulan untuk selesai.

“Ada yang dakwa, susu itu tarikh luputnya dua bulan lagi, jadi saya juga kena ganti, banyak yang saya terpaksa tanggung.

“Jadi kalau betul-betul nak bantu, bantu dengan hantar segera susu untuk saya selesaikan hal ini dengan pemilik barangan di gudang Pengkalan Chepa, kalau nak minta sedekah saya malu dan buntu untuk selesaikan kos ganti rugi kerana tuntutan insurans tak cukup untuk selesaikan kos kehilangan susu dan membaiki lori,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi berkata, bagi kes kecurian susu, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, malam tadi pihaknya mengambil kesemua susu yang berada di rumah Azizan dan akan diserah kembali sebaik siasatan selesai.

Rabu lalu, tular rakaman video yang memaparkan orang ramai mengutip susu tin dari treler yang terbalik kemalangan di Cabang Tiga, Kampung Tawang, di sini jam 4 pagi dipercayai dari Klang untuk dihantar ke gudang di Pengkalan Chepa.

Reply