no comments

Usia 18 tahun boleh jadi menteri

MELAKA: Pindaan Perlembagaan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, memberi kelayakan kepada golongan itu menyertai pilihan raya, seterusnya berpeluang dipilih sebagai wakil rakyat dan menteri.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata langkah itu membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan besar yang boleh dimainkan oleh golongan muda di negara ini.

Katanya, ini kerana peranan golongan itu penting berikutan mereka adalah generasi pelapis yang akan meneruskan wawasan negara pada masa akan datang.

“Ketika kita meletakkan harapan yang sangat besar ini kepada generasi muda, kita juga bimbang kerana mereka kini hidup dengan penuh keselesaan sehingga tidak sedar betapa banyak pengorbanan dilakukan pemimpin terdahulu untuk membawa negara ke tahap sekarang.

“Sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang lupa perjalanan dan perjuangan bangsa kerana pada mereka, keadaan baik dan selesa dalam negara adalah biasa dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka.

“Persepsi ini boleh meruntuhkan negara. Maka semangat patriotisme dan jati diri perlu dipupuk dalam diri generasi muda kerana keperibadian mereka mencerminkan keperibadian negara pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di padang Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini, malam ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari; Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan 2019 yang menyaksikan individu berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Dewan Negara turut meluluskan pindaan berkenaan pada 25 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata usaha memupuk semangat patriotisme dan membentuk jati diri bangsa yang unggul perlu dijalankan sepanjang masa.

“Keadaan itu dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi dan secara tidak langsung menjadi individu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

 

 

Reply