no comments

Warga emas cari lokan sara keluarga

KOTA BHARU: Berbekalkan kudrat yang masih ada, seorang warga emas tetap bersemangat mencari dan menjual lokan yang menjadi sumber pendapatannya sejak lebih 50 tahun lalu.

Ramli Samad, 68, yang tidak lekang dengan senyuman apabila didatangi pembeli, mengakui kehidupannya banyak dihabiskan untuk mencari hasil laut seperti ikan, ketam dan lokan bagi menyara isteri, Rohana Deraman, 65, dan membesarkan lima anak yang kini berusia 33 hingga 45 tahun.

Hampir setiap hari dia bermandi lumpur mencari lokan yang di kawasan payau bakau berdekatan rumahnya di Kampung Padang Kiat di sini dan biasanya mampu memperoleh antara 30 hingga 40 kilogram sehari.

Hidupan laut itu akan dijual dengan harga serendah RM2.50 sekilogram. Setiap Sabtu, dia akan menjual lokan di Pasar Terapung Pengkalan Datu di sini.

“Biasanya saya pergi mencari lokan jam 9 pagi atau jam 2 petang, bergantung kepada cuaca. Jika dahulu saya boleh menghabiskan masa berjam-jam bermandi lumpur, kini masa terpaksa dihadkan kerana saya sudah tidak segagah dulu.

“Sebenarnya mencari lokan agak rumit kerana ada masanya saya terpaksa melalui lumpur yang dalam, selain berdepan risiko dipatuk ular. Namun saya berserah kepada Allah dan setakat ini tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ramli tidak pernah bosan mencari lokan atau ketam mahupun turun ke laut mencari ikan kerana ia bagaikan sudah sebati dalam hidupnya.

“Ramai pelanggan yang tidak pernah melihat lokan bertanya cara untuk memasak hidupan laut ini yang memiliki isi yang sedap dan manis, malah boleh dimasak secara goreng tumis, masak putih bersama rebung atau dibakar dan dicicah air asam.

“Saya gembira apabila dapat melihat wajah teruja pelanggan membeli lokan dan selagi kudrat masih ada saya akan meneruskan pekerjaan ini.

“Selagi ia pencarian halal, saya akan terus bekerja memandangkan saya sendiri tidak biasa duduk di rumah dan perlu melakukan kerja untuk merasa lebih sihat,” katanya.

Reply